PUSAT PENGURUSAN LESTARI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

20-21 MEI 2024, SHAH ALAM – Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menganjurkan Bengkel Melibatkan Pelaksanaan Kampus Lestari – Anugerah Alam Sekitar (KLAAS) Bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertempat di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam. KLAAS merupakan inisiatif JAS dalam usaha membudayakan amalan kelestarian di persekitaran Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melalui memperkasa peranan warga kampus.

 

Ini kerana warga kampus memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan dan budaya alam sekitar yang mampan terutamanya di peringkat kampus. Pelaksanaan KLAAS ini akan melibatkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG), Politeknik dan Kolej Komuniti.

 

Bengkel ini telah dihadiri seramai 25 orang pegawai dari JAS, KPT, KPM, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan beberapa wakil IPT perdana di Malaysia, dan dikendalikan oleh Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM.

Bengkel yang dirasmikan oleh Puan Hajah Mashitah binti Darus, Timbalan Pengarah (Pembangunan) JAS turut dihadiri oleh Puan Hajar Azuri Azizah binti Haji Saedon, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, JAS bertujuan untuk mendapatkan persetujuan dan persefahaman yang sama dengan pihak berkepentingan iaitu KPT, KPM dan semua IPT di Malaysia untuk pelaksanaan KELAS ini ke peringkat seterusnya.

 

JAS amat berbesar hati dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak kerana sudi memberikan input, berkongsi pengalaman dan pandangan bagi memastikan Program KLAAS ini dapat dilaksanakan di Malaysia.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *