PUSAT PENGURUSAN LESTARI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Program Bawa Bekas Makanan Sendiri

 

Seramai 12 orang pengusaha makanan sekitar kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menyertai sesi penerangan mengenai “Bawa Bekas Makanan Sendiri” dengan kerjasama I-create UMT. Program yang diadakan di bilik mesyuarat HEPA ini berlangsung dengan jayanya dan turut dihadiri oleh Ketua Pusat Pengurusan Lestari, Prof. Madya Dr. Chia Poh Wai.

 

Program ini, yang melibatkan sesi penerangan dan dialog, secara amnya membincangkan larangan penggunaan plastik sekali guna. Ia juga memberikan penjelasan mengenai bahan plastik serta kesan buruknya terhadap alam sekitar.

 

Para pengusaha yang hadir telah menerima taklimat ringkas daripada Prof. Madya Dr. Chia Poh Wai mengenai penggunaan plastik sekali guna dan bagaimana bahan ini mencemarkan alam sekitar melalui laut, tanah, kerosakan habitat, serta bahaya pencemaran kepada kesihatan manusia. Tambahan pula, plastik memerlukan sekurang-kurangnya 400 tahun untuk terurai secara semulajadi seterusnya mampu menimbulkan masalah serius kepada alam sekitar.

 

Menurut Prof. Madya Dr. Chia Poh Wai, dalam mesyuarat ini juga pengusaha kafeteria juga diberi pendedahan tentang masalah pembaziran makanan yang telah berlaku di masyarakat sekarang.

 

Berdasarkan data dari SWCorp Sdn Bhd, Malaysia menghadapi masalah besar dengan pelupusan sisa makanan. Hampir setiap hari, lebih daripada 16,000 tan makanan dibuang, dengan 45% daripada sisa pepejal ini berakhir di tapak pelupusan. Di sana, ia terurai secara anaerobik, melepaskan gas metana dan karbon dioksida—kedua-duanya adalah gas rumah hijau yang tepu. Menurut SWCorp Malaysia (Korporasi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam), lebih daripada 44% daripada sisa ini berasal dari rumah penduduk tempatan. Tapak pelupusan di negara ini hampir mencapai kapasiti penuh. Ini telah menyebabkan masalah alam sekitar dan kesihatan yang serius. Selain itu, cecair yang bocor dari tapak pelupusan ini mencemarkan sungai di seluruh negara (sumber: https://www.uhijau.org/waste-management).

 

Melalui pellbagai inistiatif yang dilakukan seperti larangan pengunaan plastik sekali guna, program bawa bekas makanan sendiri dan juga program pengelakkan pembaziran makanan, diharapkan dapat menyedarkan masyarakat tentang kesan pencemaran dan juga mengurangkan pembaziran makanan, sekaligus dapat  menangani isu kebuluran dengan menyelamatkan makanan lebihan.

+