Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian dengan memperkenalkan pelan baharu bagi memacu kampus hijau dan lestari. Inisiatif itu selaras dengan matlamat UMT untuk menjadi peneraju dalam bidang kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar, seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
UMT aktif dalam penyelidikan berkaitan tenaga boleh diperbaharui, khususnya yang berkaitan dengan sumber marin seperti tenaga matahari, ombak, dan angin. Penyelidikan itu bertujuan sebagai alternatif kepada penggunaan bahan bakar fosil dalam sektor perkapalan dan industri lain.
“Tenaga hijau adalah salah satu komponen penting dalam usaha kelestarian kami. Dengan inisiatif ini, kami bukan sahaja mengurangkan jejak karbon tetapi juga memberi peluang kepada pelajar dan penyelidik untuk meneroka teknologi hijau secara langsung,” kata Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim.
Selain itu, UMT juga telah melancarkan kempen bebas plastik di seluruh kampus dan juga pasar berhampiran. Kempen itu melibatkan penggantian plastik sekali guna dengan bahan mesra alam seperti beg kertas, straw logam dan bekas makanan biodegradasi. Pelajar dan kakitangan turut digalakkan membawa bekas makanan dan botol air sendiri sebagai sebahagian daripada budaya hijau.
UMT turut melibatkan komuniti sekitar melalui projek “Kelestarian Bersama” yang memfokuskan kepada pemuliharaan pantai dan hutan bakau di kawasan berhampiran. Projek itu bukan sahaja memberi kesan positif terhadap ekosistem tempatan tetapi juga menjadi platform pembelajaran praktikal untuk pelajar UMT yang terlibat.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh budaya lestari, UMT akan menganjurkan Hari Lestari UMT 2025 pada 15 Januari 2025. Program sehari ini akan diadakan di Kampus Universiti Malaysia Terengganu dengan menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti Station Game – Cabaran interaktif yang menyeronokkan untuk semua peringkat umur, Living Lab – Pameran dan demonstrasi inovatif tentang pemeliharaan alam sekitar, Pameran kenderaan elektrik (EV), Pameran Aktiviti Kelestarian, Pertandingan Mewarna – Aktiviti kreatif untuk kanak-kanak yang menyeronokkan serta Jualan Food Truck.
Hari Lestari UMT 2025 bertujuan menyemai kesedaran dan pengetahuan mengenai kelestarian sambil mengeratkan hubungan komuniti kampus dengan masyarakat luar.
Walapun sistem pengurusan penggunaan sumber elektrik dan air telah mengaplikasikan teknologi sensor di beberapa bangunan kampus, UMT bercadang untuk memperluaskan inisiatif kelestarian dengan membangunkan “Kampus Hijau Pintar” yang akan menggabungkan teknologi pintar untuk memantau dan mengurus penggunaan tenaga, air dan sisa dengan lebih efisien melalui adaptasi IoT. Usaha itu dijangka bukan sahaja mengurangkan kos operasi tetapi juga memperkukuh imej UMT sebagai universiti lestari bertaraf dunia.
Langkah itu membuktikan bahawa UMT komited dalam menjaga alam sekitar dan menjadi contoh kepada institusi pendidikan tinggi lain di Malaysia. Dengan inisiatif pelaksanaan itu UMT bukan sahaja memastikan masa depan yang lebih hijau untuk kampusnya, tetapi juga memberi impak positif kepada generasi akan datang.