TSR UMT Menyertai Program Pasor Percuma Ganu Kite! di Kampung Paradong, Manir
Kuala Terengganu, 23 Ogos 2025 – Pejabat Transformasi Perancangan Strategik dan Risiko (TSR), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengambil bahagian dalam program Pasor Percuma Ganu Kite! yang berlangsung di Masjid Kampung Paradong, Manir, Kuala Terengganu.
Program yang dianjurkan bersama komuniti setempat ini bertujuan menyantuni masyarakat melalui sumbangan barangan keperluan asas termasuk pakaian, buku, permainan kanak-kanak, peralatan dapur, serta keperluan persekolahan. Langkah ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial universiti dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat dan menyokong agenda pembangunan lestari.
Penglibatan TSR UMT dalam program ini jelas menunjukkan komitmen universiti untuk terus mendekati masyarakat melalui aktiviti kebajikan dan kolaborasi komuniti. Selain itu, ia turut memberi peluang kepada warga TSR untuk memahami keperluan setempat, sekali gus menyumbang idea strategik dalam merancang program pembangunan masyarakat yang lebih mampan pada masa akan datang.
Seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), khususnya dalam aspek kesejahteraan sosial, TSR UMT bertekad untuk terus melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi, demi memastikan UMT kekal sebagai universiti yang relevan dan dekat di hati masyarakat.
