Kuala Terengganu, 3 November 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berjaya menganjurkan Hari Lestari Ke-4 bagi tahun 2025 sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan universiti terhadap agenda kelestarian dan tindakan iklim.
Hari Lestari Keempat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merupakan kesinambungan kepada siri program lestari yang telah dilaksanakan secara konsisten sejak tiga tahun lalu. Program ini berfungsi sebagai platform penting untuk meningkatkan kesedaran, menggalakkan tindakan kolektif, serta memupuk inovasi dalam menangani cabaran perubahan iklim, khususnya yang melibatkan ekosistem pesisir pantai dan marin. Pada tahun ini, program dianjurkan dengan tema “Memperkasa Kelestarian Pantai dan Marin Melalui Aksi Iklim”, selaras dengan kepakaran teras UMT sebagai universiti berfokuskan sains dan sumber marin.
Pelbagai aktiviti berimpak tinggi telah dilaksanakan sepanjang program, antaranya Program Pembersihan Kawasan Paya Bakau anjuran Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Pasar Agro oleh Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMA), serta booth interaktif daripada beberapa Pusat Tanggungjawab (PTj) yang mempamerkan inisiatif, penyelidikan dan amalan lestari masing-masing.
Program ini turut diserikan dengan majlis penyerahan Surat Hasrat (Letter of Intent, LOI) antara pihak UMT dan Everlantern Sdn. Bhd., sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kerjasama industri ke arah pembangunan lestari dan teknologi hijau. Selain itu, beberapa sesi perkongsian ilmu turut diadakan, termasuk ceramah bertajuk “Perubahan Iklim dan Kesannya terhadap Kawasan Pantai” oleh wakil Jabatan Meteorologi Terengganu serta ceramah “Pekerjaan Hijau dan Tenaga Kerja Masa Depan” yang disampaikan oleh alumni UMT.
Penganjuran Hari Lestari Ke-4 ini mencerminkan komitmen berterusan UMT dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju kelestarian di peringkat komuniti, negeri dan nasional.


