PUSAT PENGURUSAN LESTARI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Zero Waste Market Sempena Program Masjid UMT Bersama Komuniti

Kuala Nerus, 28 Julai 2025 – Pusat Pengurusan Lestari (PPL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh agenda kelestarian melalui penganjuran Zero Waste Market bersempena Program Masjid UMT Bersama Komuniti: “Rezeki Dikongsi, Ukhuwwah Bersemi”. Program ini berlangsung selama dua hari, iaitu pada 27 hingga 28 Julai 2025, bertempat di perkarangan tempat letak kenderaan Pusat Islam Sultan Mizan (PISM), UMT.
Pelaksanaan Zero Waste Market turut diserikan dengan program Trash to Cash anjuran Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM) yang bertujuan meningkatkan kesedaran warga UMT tentang kepentingan mengurangkan pembaziran serta mengamalkan gaya hidup lestari. Inisiatif ini menekankan konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle) melalui aktiviti seperti penggunaan semula barangan, pengurangan plastik sekali guna, dan pengumpulan bahan kitar semula.
Menurut Prof. Madya Dr. Chia Poh Wai, Ketua Pusat PPL, UMT, Zero Waste Market bukan sekadar program sementara, sebaliknya menjadi pemangkin perubahan minda warga universiti agar lebih peka terhadap isu alam sekitar. “Kita ingin membudayakan gaya hidup lestari dalam kehidupan seharian, bermula dengan tindakan kecil seperti mengurangkan penggunaan plastik, membawa bekas sendiri, dan berkongsi barangan agar dapat dikitar semula,” katanya.
Program ini juga memberi nilai tambah kepada pengisian Masjid UMT Bersama Komuniti kerana ia bukan hanya menekankan kelestarian, tetapi turut menyemai semangat kebersamaan antara warga kampus dan masyarakat setempat. Antara pengisian menarik ialah Program Jualan Rahmah, gerai komuniti, sumbangan barangan keperluan, serta sesi perkongsian ilmu mengenai amalan sifar sisa. Melalui pendekatan ini, warga kampus dan masyarakat didedahkan dengan kepentingan pengurusan sisa secara lestari yang mampu memberi impak positif kepada alam sekitar.
Zero Waste Market menjadi wadah penglibatan langsung pelajar dan staf UMT dalam usaha memelihara kelestarian, di samping mengeratkan hubungan dengan masyarakat luar melalui pendekatan praktikal dan inklusif. Kehadiran masyarakat setempat yang memberi sokongan padu membuktikan bahawa isu kelestarian kini semakin mendapat perhatian ramai.
Secara keseluruhannya, penganjuran ini bukan sahaja menyebarluaskan nilai murni dan meningkatkan literasi alam sekitar, malah menggalakkan kerjasama kolektif dalam mencapai matlamat kampus lestari UMT.