Kuala Nerus, Terengganu | 30 April 2025
Kesedaran terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi pengetahuan, kefahaman, perubahan sikap serta penyertaan aktif masyarakat. Usaha ini wajar dipupuk sejak awal kerana ia menjadi faktor penentu kepada pembentukan gaya hidup mesra alam pada masa hadapan. Sehubungan itu, institusi pendidikan tinggi berperanan penting sebagai pemangkin kesedaran melalui pelaksanaan program berimpak kepada komuniti kampus.
Bagi menyahut agenda tersebut, Pusat Pengurusan Lestari (PPL) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menganjurkan Hari Lestari UMT 2025, yang dijadual berlangsung pada 30 April 2025, dari 8.00 pagi hingga 1.00 petang bertempat di Serambi Siswa, Kolej Kediaman UMT.
Program ini merangkumi tiga aktiviti utama iaitu Car Boot Sale, Flea Market (Zero Waste Market) dan Trash to Cash. Car Boot Sale memberi peluang kepada peserta menjual barangan terpakai seperti pakaian, buku dan peralatan elektronik, manakala Flea Market berfungsi sebagai platform pasar terbuka yang membolehkan pelajar menjual atau berkongsi barangan baharu dan terpakai pada harga berpatutan, sekali gus memupuk budaya bersedekah dan berkongsi.
Sementara itu, inisiatif Trash to Cash menumpukan kepada kreativiti dalam menukar barangan terbuang atau tidak lagi digunakan kepada produk bernilai yang boleh dipasarkan, selari dengan konsep ekonomi kitaran dan pengurangan sisa.
Antara objektif utama penganjuran Hari Lestari UMT ialah meningkatkan semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar, memupuk budaya berkongsi dan bersedekah, menggalakkan amalan kitar semula serta pengurangan pembaziran, di samping menyediakan platform untuk pelajar menjana pendapatan tambahan.
Penganjuran program ini dijangka memberi impak positif melalui peningkatan kesedaran warga kampus terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar, penyediaan pengalaman praktikal asas perniagaan kepada pelajar, serta pengukuhan hubungan antara komuniti kampus dan masyarakat setempat.
Hari Lestari UMT 2025 diharap menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi mahasiswa yang bukan sahaja berdaya saing dan berjiwa usahawan, malah peka terhadap tanggungjawab menjaga kelestarian alam demi masa depan yang lebih mampan.
Foto: https://www.facebook.com/MediaKreatifUMTofficial/posts/30-april-2025-program-hari-lestari-umt-kali-ke-2-yang-berlangsung-di-sekitar-ser/1252652079989688/