
KUALA NERUS, 22 Feb – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengukuhkan halatujunya sebagai universiti ulung berteraskan kelestarian apabila melancarkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) bagi menyokong agenda Kampus Lestari sempena Majlis Perutusan dan Amanat 2026 Naib Canselor di Dewan Sultan Mizan, hari ini.Inisiatif tersebut dilihat sebagai langkah strategik universiti dalam memperkasa Teras Kelestarian dan Pendigitalan Kampus, selaras dengan aspirasi nasional serta komitmen UMT menerajui Agenda Ekonomi Biru negara.
Naib Canselor UMT, Mohd Zamri Ibrahim berkata, pelancaran dan penyerahan rasmi kenderaan EV kepada pihak pengurusan universiti bukan sekadar simbolik, tetapi manifestasi komitmen institusi terhadap pengurangan jejak karbon, kecekapan tenaga dan pembudayaan gaya hidup rendah karbon dalam kalangan warga kampus.
“Sebagai universiti yang berteraskan kelautan, sains marin dan kelestarian, kita tidak boleh sekadar berbicara mengenai perubahan iklim dan kemampanan. Kita mesti mempraktikkannya dalam tadbir urus, operasi dan budaya kerja harian,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa agenda kampus lestari merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan jangka panjang UMT sehingga 2035, yang memposisikan universiti sebagai peneraju penyelidikan dan inovasi dalam bidang Ekonomi Biru, perubahan iklim dan kesihatan bumi.
Selari RPTM 2026–2035. Menurut beliau, halatuju tersebut selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menekankan kemampanan, inovasi dan pembinaan bakat masa hadapan.
UMT komited untuk menyelaraskan ekosistem akademik, penyelidikan dan pemindahan ilmu dengan agenda nasional, khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui marin, bioteknologi laut, keterjaminan makanan serta pemuliharaan biodiversiti.
“Kelestarian bukan lagi pilihan, tetapi keperluan strategik. UMT mesti berfungsi sebagai hab penyepadu nasional yang menghubungkan kepakaran akademik, industri dan komuniti pesisir dalam satu ekosistem pembangunan mampan,” katanya.
Kampus Pintar dan Rendah Karbon
Selain penggunaan EV, UMT turut mempergiat pelaksanaan Pelan Strategik Pendigitalan 2026–2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan Kampus Pintar menerusi penggunaan teknologi rendah karbon, operasi digital sepenuhnya, sistem keselamatan siber bersepadu serta infrastruktur ICT pintar.
Majlis turut menyaksikan penyerahan rasmi sebuah bas elektrik (EV), lima buah kereta elektrik dan 20 unit skuter eBike untuk kegunaan 18 pusat tanggungjawab di dalam kampus sebagai sebahagian daripada inisiatif Kampus Pintar dan Rendah Karbon UMT. Kenderaan berkenaan akan dimanfaatkan bagi urusan pentadbiran dan operasi dalaman kampus, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan berasaskan bahan api fosil.
Langkah ini turut disokong dengan perancangan penyediaan kemudahan pengecasan EV di beberapa lokasi strategik kampus bagi memastikan ekosistem mobiliti hijau dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan mampan. Inisiatif ini dijangka meningkatkan kecekapan pengurusan tenaga dan sumber, di samping menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon universiti secara berperingkat, selari dengan komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Dalam pada itu, UMT turut mencatat lonjakan membanggakan dalam QS World University Rankings 2026 apabila berada pada kedudukan 801–850 dunia, selain pengiktirafan sebagai universiti nombor satu Malaysia dalam bidang Marine and Freshwater Biology oleh U.S. News & World Report.
Sambutan Jubli Perak Perkukuh Jati Diri
Tahun 2026 juga amat signifikan apabila UMT menyambut Jubli Perak 25 tahun penubuhannya. Tema “Menerajui Agenda Ekonomi Biru Negara” diangkat sebagai tekad memperkukuh peranan universiti dalam pembangunan negara maritim.
Menurut Naib Canselor, sambutan tersebut bukan sekadar memperingati sejarah, tetapi menjadi jambatan strategik antara pencapaian silam dan lonjakan masa depan.
“Dengan warisan 25 tahun di belakang kita dan cabaran global di hadapan, UMT mesti terus melangkah sebagai universiti yang berani memimpin, teguh berprinsip dan jelas sumbangannya kepada negara dan dunia,” katanya.
Pelancaran dan penyerahan kenderaan EV di kampus hari ini menjadi simbol komitmen berterusan UMT dalam menjadikan kelestarian sebagai budaya institusi, selari dengan slogan universiti, “Terokaan Seluas Lautan, demi Kelestarian Sejagat.”
Berita Penuh: https://bernama.com/bm/am/news.php?id=2526292